Monday, January 28, 2013

Maut Terkena Renjatan

Seorang lelaki warga asing yang baru 10 hari bekerja menyabit kelapa sawit maut apabila terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Paris 2, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa, Rizal Bahar, 23, maut serta-merta di tempat kejadian apabila galah besi digunakannya terkena kabel elektrik berdekatan.

Mangsa dipercayai sedang mengait kelapa sawit sebelum galah besi sepanjang sembilan meter digunakannya tersentuh tiang elektrik yang terletak kira-kira enam meter dari tempat mangsa berdiri.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Deputi Superintendan Martin Lugu berkata, lelaki terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat renjatan elektrik yang mengalir daripada galah besi mengenai perut dan kaki mangsa.

“Pekerja lain yang melihat mangsa dalam keadaan terbaring memaklumkan kejadian itu kepada majikan mereka sebelum membuat laporan polis.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, di Sandakan, dua beradik maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 56 Jalan Sandakan-Lahad Datu, kelmarin. - HMetro

Sekadar informasi.... Tips bila berlaku kemalangan terkena renjatan elektrik..
Apa yang penting ialah jangan kita bertindak melulu bila berhadapan dengan keadaan seperti ini hingga kita sendiri lupa aspek keselamatan diri kita pula.

Elektrik bukan seperti api, ia tidak nampak dan tidak boleh dikesan, tidak boleh dihidu, tak boleh didengar dengan pancaindera anda. 

Apabila berhadapan dengan orang yang terkena kejutan elektrik, lakukan langkah-langkah berikut untuk menyelamatkannya:

1) Jangan sentuh mangsa jika suiz belum ditutup, dikhuatiri orang yang menolong juga akan terkena kejutan elektrik tersebut.

2) Tutup suiz dan dapatkan seseorang yang tahu cara menutup suiz kuasa elektrik yang besar.

3) Jangan gunakan benda yang basah, lembab atau bercampur dengan logam bagi menarik mangsa tersebut.

4) Awasi diri dengan menggunakan kasut atau pelapik kaki yang kering dan balut tangan dengan sarung tangan getah yang kering.

5) Dapatkan pertolongan cemas dengan segera untuk menyelamatkan mangsa. Hubungi pasukan perubatan dan bomba dengan segera.

1 comment: