Tuesday, February 5, 2013

Parah Disambar Api Dari Pencawang Elektrik

 
DUNGUN - “Selepas terdengar bunyi letupan kuat, saya nampak api menyambar tubuhnya, dia meronta kepanasan meminta air lalu saya menyimbahnya dengan air," kata Syed Mohd Fadil Syed Osman, 20, saksi kejadian letupan di sebuah pencawang elektrik dekat sini, petang kelmarin. 

Dalam kejadian itu, mangsa, Faqih Aqwa Mansor, 20, cedera parah akibat melecur pada sebahagian badannya. Ketika kejadian, Syed Fadil bersama Faqih dan empat lagi yang lain sedang melakukan kerja-kerja mengecat pencawang terbabit sebelum dikejutkan dengan letupan kuat sebelum api menyambar tubuh Faqih. 

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu dipercayai berlaku apabila tangga yang digunakan untuk kerja mengecat, jatuh menghempap wayar kabel lalu api menyambar melalui batang cat aluminium sebelum membakar sebahagian tubuh Faqih yang memakai baju T dan seluar jean. 


Syed Fadil berkata, selepas menyimbah air ke arah Faqih, api berjaya dipadam lalu dia mengangkat rakannya yang berasal dari Sungai Derhaka, Kuala Terengganu itu masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital. 

“Baju yang dipakainya hangus sama sekali, badan, tangan serta kakinya habis melecur. “Nasib baik saya terselamat walaupun berada tidak jauh daripadanya,” kata Fadil yang melakukan kerja-kerja mengecat bersama mangsa di lokasi terbabit sejak kelmarin. 

Seorang lagi rakan mangsa, Ahmad Saberi Ismail, 20, berkata, ketika kejadian, dia berada di bahagian belakang bersama tiga lagi rakannya yang lain sebelum terdengar letupan kuat, diikuti api seperti kilat menyambar. 

Saberi yang bergegas ke arah lokasi kejadian bagaimanapun terkejut selepas melihat rakannya sudah longlai akibat melecur teruk. Saberi bersama rakannya kemudian menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun. 

Mangsa yang difahamkan baru beberapa bulan bekerja dengan sebuah syarikat tempatan yang mengambil kontrak kerja-kerja mengecat pencawang elektrik itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. - SH

1 comment: