Bahaya elektrik tidak boleh dianggap ringan. Oleh kerana aliran arusnya
tidak nampak, bahaya ini sukar dikesan. Jika tersilap ia boleh mencacatkan
anggota, menyebabkan renjatan, lumpuh, kebakaran, letupan, kematian dan
sebagainya.
Gejala ini hanya boleh diatasi jika semua peraturan keselamatan
dipatuhi. Peraturan keselamatan ini bertujuan untuk melindungi pekerja,
pengguna, alat-alat dan bangunan dari bahaya yang disebabkan oleh
elektrik.Peraturan ini diambil berdasarkan peraturan IEE (Institution Of Electrical
Engineers) dan Jabatan Bekalan Elektrik & Gas yang dikemaskini dari masa ke
semasa.
Berikut adalah antara langkah keselamatan terpenting yang perlu
dipatuhi :
1. Lantai tempat bekerja mestilah bersih daripada minyak, air atau
gris. Semua bahan ini boleh menyebabkan pekerja tergelincir semasa mereka
bekerja ditempat tersebut.
2. Peralatan yang digunakan mestilah berada dalam keadaan baik dan
sempurna. Jika tidak, sila beritahu pegawai yang bertugas. Peralatan harus disimpan ditempat yang betul dan selamat supaya mudah
dicari bila diperlukan, lebih-lebih lagi di waktu kecemasan. Pastikan semua peralatan diletakkan ditempatnya yng asal selepas
digunakan.
3. Pakai pakaian yang bersesuaian, tidak terlalu sempit atau terlalu
longgar. Kasut bertapak tebal dan berjahit disekelilingnya lebih digalakkan
semasa membuat kerja-kerja pendawaian.
4. Seseorang tidak dibenarkan bergurau atau bermain peralatan yang
tajam atau panas dengan kawan semasa melakukan kerja dibengkel.
5. Pastikan pembumian disetiap pemasangan berkesan. Elakkan dari
berkarat.
6. Pastikan pengalir (dawai) yang digunakan memenuhi saiz dan penebatan
yang sesuai.
7. Penambahan litar mesti dielakkan kecuali mendapat kebenaran dari
pegawai.
8. Jangan menceraikan bahan-bahan elektrik yang digunakan dalam ujikaji
tanpa pengetahuan pegawai bertugas.
9. Sebelum sesuatu ujikaji diuji dengan bekalan elektrik, dapatkan
bantuan dari pegawai yang bertugas untuk memeriksa litar dan penyambungannya.
10. Selepas bekerja atau selepas menggunakan mesin elektrik, pastikan
suisnya dimatikan.
11. Sekiranya berlaku sebarang kemalangan, pegawai yang bertugas harus
diberitahu dengan serta-merta.
12. Semua bekalan elektrik harus dimatikan selepas kerja atau semasa
hendak meninggalkan makmal.
13. Sebelum memasangkan plug pada soket, pastikan suis pada soket
dimatikan terlebih dahulu.