Kejadian bekalan elektrik terputus membabitkan hampir keseluruhan Sarawak termasuk Kuching petang ini berpunca daripada litar di talian penghantaran Kemena-Bintulu terpelantik pada pukul 5.40 petang.

Pengurus Komunikasi Korporat Sarawak Energy Berhad (SEB) Ahadiah Zamhari berkata jurutera dan juruteknik SEB sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik yang turut menyebabkan kesesakan teruk di sekitar bandar raya Kuching susulan lampu isyarat pincang tugas.


"Kami sedang melakukan sedaya upaya kami untuk memulihkan bekalan secepat mungkin dan SEB memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna," katanya dalam kenyataan di Kuching.


Katanya gangguan itu mungkin menjejaskan semua bahagian di Sarawak namun SEB belum dapat mengesahkannya setakat ini.

Bekalan elektrik di sesetengah kawasan di bandar raya ini termasuk di Poh Kwong Park dan Matang telah dipulihkan pada pukul 6.30 petang semalam.


Sementara itu di Bintulu, seorang penjawat awam Yati Jaya memberitahu Bernama bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya pada pukul 8.15 malam.

Bernama dimaklumkan pengguna di Miri masih bergelap setakat 8.30 malam tadi yang turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di bandar itu.
-Bernama